Tuesday, December 29, 2009

ULASAN BUKU (Menarik, mesti baca)

TIVI (karya Shahnon Ahmad)
Shahnon Ahmad terkenal dengan tulisannya yang bercorak lebih realiti, dekat dengan situasi masyarakat dan sangat mendalam dalam mengulas sesuatu situasi. Sangat rugi jika anda ketinggalan membaca karya 'Tivi'.
Karya ini menceritakan kisah sebuah keluarga Melayu yang terletak di kawasan pedalaman. Digambarkan rumah mereka terletak di kawasan sawah, masih lagi menggunakan perigi untuk mendapatkan keperluan air. 'Tivi' menceritakan sebuah keluarga yang berubah keadaannya dengan kehadiran sebuah televisyen yang dibeli oleh anak mereka. Setelah ahli keluarga (anak mereka iaitu Zainab) berhijrah ke kota dan membawa balik sebuah televisyen, rutin keluarga tersebut berubah dengan drastik. Antara perubahan yang berlaku seperti bapanya tidak lagi ke surau seperti kebiasaan, halaman rumah dihiasi semak, kerana tidak lagi rajin menebas dan membersihkan halaman akibat sibuk menonton 'tivi'.
Bagi saya, apa yang menarik ialah gambaran yang digunakan oleh penulis semasa kali pertama membawa 'tivi' balik. 'Tivi' terpaksa di bawa menggunakan basikal kerana lori tidak dapat masuk, akibat jalan yang kecil dan becak. Apabila 'tivi' di bawa masuk dalam rumah, diletakkan dipenjuru rumah, rumah mereka menjadi senget. Sindiran halus oleh penulis apabila sejadah dijadikan alas 'tivi'.
Unsur sinis banyak digunakan oleh penulis, termasuklah melalui watak anak perempuan mereka, Zainab yang bekerja kilang di bandar juga berubah penampilan dengan alat kecantikan dan cara berpakaian yang menonjolkan aurat (seksi). Kejutan dan suspens digunakan apabila akhirnya kesan televisyen, zainab dan bapanya berlaku serong.
Tidak rugi anda membaca buku ini. Gaya pengolahan, jalan cerita yang penuh dengan kejutan, suspens dan sebagainya memberikan satu pengalaman baru kepada pembaca tentang dunia seni sastera. Saya percaya, dengan gaya yang bersahaja, terlalu realiti dan olahan bahasa yang digunakan oleh pengarang, seandainya anda cuba membaca karya beliau, anda akan meminati dan mengikuti hasil karya beliau.


Disediakan oleh: Siti Zubaidah Mohamad Nor

Friday, December 25, 2009

Kenali Tokoh

Sasterawan Negara merupakan anugerah yang diberikan kepada mereka yang menyumbang dalam bidang sastera bahasa Melayu.

Senarai Penerima Anugerah Sasterawan Negara
  1. 1981 : Kamaluddin Muhamad atau Keris Mas
  2. 1982 : Dato' Shahnon Ahmad
  3. 1983 : Datuk Dr. Usman Awang
  4. 1986 : Datuk A. Samad Said
  5. 1988 : Muhammad Dahlan bin Abdul Biang atau Arena Wati
  6. 1991 : Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh
  7. 1993 : Datuk Noordin Hasan
  8. 1996 : Datuk Abdullah Hussain
  9. 2001 : S. Othman Kelantan
  10. 2009 : Dr. Anwar Ridhwan








Datuk A' Samad Said









Keris Mas



Seharusnya tokoh-tokoh ilmiah seperti sasterawan negara ini diberi penghargaan kerana darjah ilmu yang dimiliki dan disumbangkan kepada rakyat. Merekalah yang dapat membantu kesinambungan ketamadunan manusia bukan sahaja dalam negara kita, tetapi juga di Malaysia. Hal ini demikian kerana, bangsa yang berilmu dan mementingkan ilmu adalah bangsa yang tinggi ketamadunannya. Manakala bangsa yang tidak berilmu dan tidak mementingkan ilmu akhirnya akan menyumbang kepada kehancuran sesebuah tamadun.

Pertandingan Menulis Novel dan Skrip Drama Kanak-kanak dan Remaja anjuran DBP

Pengumuman kepada semua yang berminat untuk menyertai peraduan menulis novel dan drama kanak-kanak dan remaja. Pertandingan ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas. Pelajar-pelajar dan guru-guru TIGS yang berminat amat dialu-alukan. Jika berminat, sila layari laman ini: http://prpm.dbp.gov.my/. Hadiah lumayan disediakan.
Tarikh tutup penyertaan pada 31 Januari 2010.